
Soalan
Saya seorang ibu muda yang sangat mementingkan soal
pendidikan anak. Tidak dinafikan ibu bapa mahukan menjaga dan mengasuh anaknya
sendiri. Dalam keadaan tertentu, tugas itu tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Masalah saya adalah untuk mencari penjaga atau taman
asuhan, pusat jagaan atau kelas fardu ain yang baik untuk anak-anak. Saya
berharap puan dapat membantu dalam hal ini.
Ibu Muda,
Taman Ehsan Jaya, Johor Bahru
Jawapan:
Ada beberapa tips dan kriteria pemilihan pusat jagaan
kanak-kanak.
1. Mesti berdaftar.
Taska dan pusat jagaan mesti berdaftar dengan Jabatan
Kebajikan Masyarakat dan tadika pula dengan Jabatan Pelajaran.
2. Berjumpa, bersemuka dan berbincang dengan
pengusaha/penyelia.
Hasil perbincangan itu puan dapat melihat dan menilai
sendiri bahawa dia mengetahui sedikit sebanyak mengenai tata cara, peraturan
dan penjagaan anak-anak.
Pastikan dia itu seorang yang mesra, peramah dan
penyayang. Daripada situ juga puan boleh menilai sama ada dia mempunyai pengalaman,
terlatih, minat pada tugas dan ikhlas.
Jika dia suka kerja itu, maka anak anak kita akan
gembira. Keikhlasan, pengalaman dan pendedahan latihan sangat penting.
3. Kebersihan.
Pastikan puan masuk ke dalam kelas dan melihat dapur. Pastikan
ia dalam keadaan memuaskan.
4. Bayaran Yuran.
Puan perlu bertanya dengan sejelas-jelasnya dan kalau
memungkinkan boleh tawar menawar jika yurannya terlalu mahal. Buat perbandingan
dengan pusat jagaan lain. Tanyakan juga bayaran lebih masa jika puan lambat
mengambil anak.
5. Program.
Pastikan pusat itu mempunyai program tersusun supaya
anak-anak mendapat pengisian mental, jiwa dan emosi sewajarnya.
6. Takaful.
Pastikan pusat itu mempunyai insurans takaful.
7. Kegiatan membabitkan ibu bapa.
Adakah mereka menggalakkan kegiatan seumpama?
8. Peraturan taska/tadika/pusat jagaan.
Pastikan pusat jagaan mempunyai peraturan dan simpan satu
salinannya.
9. Keceriaan.
Pastikan suasana riang dan ceria di sekitarannya. Suasana
banyak faktor penggalak pengembangan minda anak-anak.
10. Fardu ain.
Ada tadika dan pusat jagaan menawarkan pembelajaran fardu
aini. Bagaimanapun, puan perlu pastikan bagaimana mereka menekankan kegiatan
amali mengambil wuduk dan solat.
11. Bayaran balik.
Puan perlu bertanya mengenai bayaran yang telah dibayar
jika bertukar fikiran sebelum habis sebulan anak dihantar ke situ. Bolehkah
puan dapatkan sebahagian bayaran balik daripada yuran yang dibayar? Ramai ibu
bapa tertipu dalam perkara ini.
Bagi anak yang berumur empat tahun, mereka boleh dihantar
ke taska, tadika atau pusat jagaan. Saya lebih suka menghantar anak ke taska
kerana konsep bermain sambil belajarnya yang lebih bebas dan sesuai pada tahap
usia ini.
Senyum selalu. Banyak berdoa dan tawakal. Insya-Allah,
semua masalah boleh diatasi.